Wasiat

Diterbitkan pada: 18/09/2018
Dikemaskini pada: 30/11/2018

Apa itu Wasiat

Wasiat telah lama diamalkan dalam tamadun manusia. Dalam masyarakat Rom dahulu, ketua keluarga mempunyai kuasa ke atas harta dengan cara wasiat memberikan harta kepada sesiapa sahaja dan menghalang anaknya daripada menjadi pewaris. Manakala dalam masyarakat Arab Jahiliah pula mereka membuat wasiat sebagai satu kebanggaan dan membiarkan kerabat dalam kefakiran.

Islam telah memperbetulkan keadaan tersebut dengan meletakkan asas kebenaran dan keadilan dalam membuat wasiat.

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Diwajibkan keataskamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.


(Surah Al-Baqarah:180)

Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith dalam surah Al-Nisa, iaitu yang menerangkanhak-hak dan pembahagian pusaka melalui hokum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud:

“Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.

 

(Surah Al-Nisa’: 7)

Manakala Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud:

“Tidak wajar bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, membiarkan dua malam berlalu tanpa menulis wasiatnya.”

 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.

Kaedah Berwasiat

Wasiat merupakan dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada Wasi untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat termasuklah melaksanakan segala strategi perancangan dan pengagihan harta selepas kematian.

Ia mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu wasiat kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid. Hanya satu pertiga (1/3) daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan boleh diwasiatkan.

Manakala dua pertiga (2/3) daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris menurut Hukum Faraid. Pewasiat boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga (1/3) sekiranya semua ahli waris bersetuju dengan pembahagian tersebut selepas kematian pewasiat.

Pewasiat juga boleh mewasiatkan hartanya kepada ahli waris yang layak menerima faraid sekiranya dipersetujui oleh ahli-ahli waris yang lain selepas kematian pewasiat. Ia se bagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.”


(Riwayat Abu Daud
)

Siapa yang Layak Buat Wasiat

Semua umat Islam layak membuat wasiat asalkan anda berumur lebih 18 tahun, sempurna akal, sukarela dan tidak dipaksa, tidak dihalang mengurus hartanya dan jika pewasiat sedang sakit, dia hendaklah waras fikiran, baik ingatan dan memahami wasiat dibuat.

Dari segi harta yang boleh diwasiatkan adalah harta alih seperti kenderaan, wang tunai, wang simpanan, barang kemas, saham, insurans, hutang dan lain-lain dan harta tak alih seperti rumah, tanah, bangunan dan lain-lain.

Jika anda orang yang berharta, orang yang lanjut usia, orang yang tidak berkahwin, orang yang mempunyai anak angkat, orang yang berhutang, orang yang tiada waris dan muallaf adalah sangat digalakkan membuat wasiat. Bermakna semua kita adalah digalakkan membuat wasiat.

Kenapa Wasiat itu Penting

Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.

Menulis wasiat adalah sangat berfaedah kerana pelantikan wasi melalui dokumen wasiat akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.

Pelantikan penjaga yang dipercayai melalui wasiat akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian anda. Pada masa yang sama, ia juga akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.

Syarat-Syarat

  1. TULIS WASIAT
    • Wasiat ditulis dengan jelas dan pen yang digunakan berwarna hitam
    • Tidak boleh menggunakan liquid paper untuk membuat pembetulan pada ayat yang salah.
  2. TANDA TANGAN PEWASIAT DAN SAKSI
    • Mesti ditandatangani oleh pewasiat dan saksi.
    • Saksi mestilah 2 orang lelaki dan 2 perempuan 1 lelaki (bukan dikalangan menerima harta pusaka)
  3. ASET MILIK SAH
    • Aset hendaklah dimiliki di atas nama pewasiat secara sah
    • Tidak boleh mewasiatkan harta yang belum pasti wujud
  4. WARIS YANG SAH
    • Waris penerima harta pusaka adalah waris sah daripada undang-undang faraid

Soalan Lazim

  1. APAKAH CIRI-CIRI YANG LAYAK UNTUK MEMBUAT WASIAT?
    Semua umat Islam layak membuat wasiat asalkan anda berumur lebih 18 tahun, sempurna akal, sukarela dan tidak dipaksa, tidak dihalang mengurus hartanya dan jika pewasiat sedang sakit, dia hendaklah waras fikiran, baik ingatan dan memahami wasiat di buat.
  2. ADAKAH LAYAK BAGI BUKAN ISLAM UNTUK MEMBUAT WASIAT?
    Layak, dan ia dipanggil Wasiat Konvesional.
  3. BERAPAKAH JUMLAH BAYARAN BAGI PENDAFTARAN WASIAT?
    RM371 bayaran sekali seumur hidup (Jika membuat pendaftaran dengan TEKUN Nasional sahaja)
  4. SIAPAKAH YANG MENJADI PENTADBIR YANG DILANTIK OLEH TEKUN NASIONAL DALAM URUSAN WASIAT INI?
    MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB)
  5. APAKAH KELEBIHAN MENYIMPAN WASIAT DI My Angkasa Amanah Berhad?
    Kelebihan menyimpan wasiat di Syarikat Amanah seperti My Angkasa Amanah Berhad adalah memastikan wasiat tersebut di jamin rahsia, selamat dari kerosakan, kemusnahan dan juga wasiat akan dapat di cari dan di ambil dengan mudah tepat pada masanya.
    Pihak kami juga akan membantu pihak waris bagi mengelakan penambahan kos di kemudian hari.
  6. MENGAPAKAH ANDA MEMERLUKAN PENTADBIRAN WASIAT?
    • Proses Pentadbiran Pusaka yang lebih cepat
    • Kos guaman untuk Perintah Mahkamah yang murah
    • Hak mereka dalam mencadangkan benefisiari sendiri
    • Pelantikan wasi dan pemegang amanah
    • Tiada kerisauan & kentenangan minda
    • Akan mengikuti prosedur dan undang-undang yang ditetapkan.
  7. APAKAH DOKUMEN YANG DIPERLUKAN DALAM PENDAFTARAN WASIAT?
    • Borang Wasiat Asas (BWA)
    • Dokumen Fizikal Wasiat (ASAL & SALINAN)
    • Salinan Kad Pengenalan / Polis / Tentera / Pasport pewasiat
  8. SAYA PERNAH MEMBUAT WASIAT SEBELUM INI, ADAKAH WASIAT YANG LAMA AKAN TERBATAL?
    Wasiat yang terakhir akan sah dan di gunapakai, di nasihatkan juga agar melupuskan wasiat lama apabila menulis wasiat yang baru.
  9. SIAPAKAH YANG PERLU DIBERITAHU JIKA SAYA MEMPUNYAI WASIAT?
    Anda boleh memberitahu keluarga atau orang tersayang berkenaan penulisan wasiat dan di mana wasiat di simpan
  10. APAKAH YANG AKAN TERJADI JIKA SAKSI MENINGGAL DUNIA SEBELUM PEWASIAT, ADAKAH WASIAT MASIH SAH ATAU PEWASIAT PERLU MENULIS SEMULA WASIAT YANG BARU?
    Anda tidak perlu menulis semula wasiat tersebut kerana ianya masih sah walaupun kedua-dua saksi tersebut meninggal dunia sebelum pewasiat.