Diterbitkan pada: 07/03/2016
Dikemaskini pada: 13/09/2023
Apakah Skim / Produk TEMAN TEKUN?
Skim / Produk TEMAN TEKUN adalah pembiayaan mikro yang digunakan untuk membiayai secara berkumpulan.
Apakah objektif pembiayaan Skim TEMAN TEKUN?
Untuk membantu usahawan berdaya maju dan berdaya saing dalam perniagaan mereka.
Apakah syarat-syarat utama menyertai Skim TEMAN TEKUN?
- Bumiputera dan masyarakat India yang mempunyai perniagaan sah.
- Menubuhkan kumpulan seramai 5 orang yang menjalankan perniagaan berdekatan, melantik seorang ketua, saling percaya mempercayai, tiada tali persaudaraan dan bertanggungjawab sesama ahli kumpulan.
Apakah panggilan kepada ahli yang dibiayai?
Ahli atau penerima biaya dipanggil TEMAN TEKUN.
Berapakah jumlah pembiayaan yang ditawarkan oleh Skim TEMAN TEKUN?
Pembiayaan Perniagaan berkumpulan dan jumlah seperti berikut:-
- Pembiayaan kali pertama dari RM1,000 sehingga RM10,000
- Pembiayaan kali kedua dan seterusnya sehingga RM20,000
Apakah kelayakan dan had maksimum permohonan pembiayaan kali pertama pembiayaan Skim TEMAN TEKUN?
Kelayakan dan had maksimum permohonan pembiayaan kali pertama tidak lebih RM10,000 dan perlu diproses dibawah Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN.
Sebagai penerima biaya Skim TEMAN TEKUN , apakah kewajipan setiap minggu?
Ahli TEMAN wajib hadir ke perjumpaan mingguan dan membuat bayaran pembiayaan setiap minggu.
(*di dalam kes tertentu / tidak dapat dielakkan ahli dibenarkan hadir ke perjumpaan minima 2 kali dalam tempoh sebulan dan bayaran ansuran pembiayaan dibuat mengikut perjanjian pembiayaan yang dipersetujui. Tertakluk kepada kelulusan dari pihak TEKUN Nasional)
Apakah jenis-jenis perniagaan yang boleh dipohon dengan Produk TEMAN TEKUN?
Semua jenis perniagaan yang sah disisi undang-undang dan mengikut syariah.
Kenapa saya perlu bayar secara mingguan? Kenapa tidak secara bulanan?
Pembayaran mingguan memudahkan usahawan. Usahawan boleh membuat pembayaran secara bulanan tetapi WAJIB hadir ke perjumpaan mingguan untuk mewujudkan hubungan rapat antara TEKUN dan Usahawan.
Apakah pembiayaan Produk TEMAN dikenakan kadar keuntungan?
Pembiayaan Skim TEMAN TEKUN dikenakan kadar keuntungan sebanyak 4% untuk setahun dan 5% untuk simpanan / tabung usahawan.
Berapa lama proses kelulusan pembiayaan Produk TEMAN?
Proses kelulusan dalam masa 14 hari bekerja.
Apakah yang dimaksudkan dengan Perjumpaan TEMAN?
Perjumpaan mingguan diantara Pegawai TEKUN dan Usahawan yang terlibat dengan Kumpulan TEMAN.
Jika sekiranya terdapat banyak kumpulan dalam satu cawangan, bagaimanakah perjumpaan TEMAN ini akan dilaksanakan?
Perjumpaan TEMAN akan dilaksanakan dengan gabungan antara 2 hingga 10 kumpulan bagi satu cawangan.
Jika seorang dalam satu kumpulan TEMAN ( 5 orang ) ingin membuat penyelesaian awal, adakah dibenarkan?
Boleh, pihak TEKUN akan menawarkan semula pembiayaan TEMAN dengan nilai yang lebih besar berdasarkan rekod bayaran ansuran pembiayaan.
Adakah dibolehkan pemohon Produk TEMAN TEKUN membuat pembiayaan bertindih (Overlaping) ?
Boleh, selepas tempoh setahun atau separuh baki pembiayaan dengan rekod bayaran ansuran pembiayaan yang baik. Permohonan perlu dibuat dalam kumpulan yang sama
Jika permohonan yang dihantar tidak mencukupi untuk membentuk satu kumpulan TEMAN ( 5 orang ) adakah pemohonan boleh diproses?
Tidak boleh diproses, perlu melengkapkan 5 orang untuk membentuk satu kumpulan
Jika terdapat salah seorang ahli kumpulan meninggal dunia, membuat penyelesaian awal, berpindah setelah permohonan DILULUSKAN,apakah tindakan selanjutnya?
Tidak perlu membuat penggantian ahli dan nama ahli tersebut masih kekal di dalam kumpulan tersebut dengan mencatatkan status di dalam sistem.
Jika terdapat perkongsian pada SSM, adakah dua-dua penama tersebut dibenarkan membuat pembiayaan melalui Skim TEMAN TEKUN?
Tidak dibenarkan
Jika terdapat salah seorang dalam ahli kumpulan yang GAGAL membayar, apakah tindakan yang perlu diambil oleh Pegawai TEKUN?
Jika ada diantara ahli yang gagal membuat bayaran ansuran, kumpulan tersebut bertanggungjawab memastikan bayaran tersebut dijelaskan.
Jika tindakan tersebut masih gagal ( usahawan tidak mahu membayar ) apakah tindakan kawasan selanjutnya?
Pegawai TEKUN perlu menasihatkan usahawan dan kumpulan tersebut dan jika masih gagal tindakan undang-undang boleh diambil kepada usahawan tersebut.
Jika salah seorang ahli kumpulan ingin memohon pembiayaan lebih dari jumlah pembiayaan yang telah kumpulan persetujui? Cth; 4 orang ingin mohon RM5,000 manakala 1 orang RM10,000
Adakah jumlah pembiayaan setiap ahli kumpulan perlu sama ? Siapa yang patut/ boleh menentukan jumlah pembiayaan ahli?
Ya, jumlah pembiayaan dan tempoh bayaran ansuran pembiayaan setiap ahli mestilah sama. Ketua Kumpulan boleh mencadangkan pada ahli dan kesemua ahli mestilah bersetuju dengan jumlah pembiayaan dan tempoh pembayaran ansuran pembiayaan yang telah dipersetujui bersama. (*tertakluk kepada kelulusan dari pihak TEKUN Nasional)
Adakah pembiayaan saya dilindungi takaful?
Pembiayaan Produk TEMAN dilindungi oleh Takaful. Sekiranya berlaku kematian Ahli TEMAN, takaful ini akan menanggung keseluruhan pembiayaan (kecuali jumlah yang telah tertunggak sebelum kematian) dengan syarat masih dalam tempoh pembiayaan.
Jika ada dikalangan ahli TEMAN yang telah berpindah premis atau rumah ?
Ahli kumpulan tersebut wajib membuat bayaran dan kekal didalam kumpulan
Apakah kelebihan dan perbezaan Skim TEMAN TEKUN berbanding dengan pembiayaan mikro lain yang mengunakan konsep yang sama ?
Kelebihan dan perbezaan Skim TEMAN TEKUN adalah seperti dibawah:-
- Kadar keuntungan yang terendah 4% setahun dikalangan Institusi Mikro Kredit di Malaysia.
- Ahli boleh terdiri dari lelaki dan wanita.
- Perjumpaan mingguan dibuat dilokasi yang berdekatan dengan tempat perniagaan dan dalam tempoh yang singkat. Perjumpaan secara mingguan dan di dalam kes tertentu dibenarkan minima hadir 2 kali dalam sebulan dengan persetujuan pihak TEKUN. Bayaran ansuran pembiayaan setiap minggu, dua minggu sekali & sebulan sekali DIBENARKAN tanpa pengurangan jumlah bayaran ansuran pembiayaan yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian Pembiayaan.
- Jumlah dan tempoh pembiayaan adalah sama bagi setiap ahli kumpulan.
- Penyelesaian awal pembiayaan bagi mana mana ahli / kumpulan dibenarkan.
- Sekiranya ahli meninggal dunia, membuat penyelesaian awal, berpindah dan lain-lain, tidak perlu membuat penggantian ahli kumpulan.
- Semua ahli kumpulan ( 5 orang ) dibenarkan membuat pembiayaan serentak tanpa menunggu prestasi ahli lain kerana semua sudah menjalankan perniagaan.
- Proses kelulusan yang cepat di dalam tempoh 14 hari bekerja
Bagaimana cara saya memohon Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN?
Boleh berhubung dengan pegawai di pejabat cawangan TEKUN yang berhampiran
Bagaimana saya boleh mengetahui alamat dan nombor telefon pejabat- pejabat TEKUN?
Sila hubungi Talian Khidmat Pelanggan 03 9058 8550 atau lawati laman web www.tekun.gov.my untuk mengetahui alamat pejabat TEKUN di seluruh negara.